HASHIMAH merenung nasib lima anaknya termasuk tiga anak angkat di rumahnya di Taman Sentosa, Klang. Gambar kecil, anaknya yang terpaksa meminta sedekah demi menyara keluarga. FOTO Muhammad Sulaiman
Klang: Seorang ibu hanya mampu menelan kata-kata cacian dan penghinaan serta pada masa sama berasa bersalah membiarkan anak bongsunya mengemis demi meneruskan hidup.
Hashimah Idris, 48, berkata, dia tiada pilihan dan terpaksa membiarkan anak bongsunya, Muhammad Firdaus Abd Aziz, 16, meminta sedekah setiap hari kerana tidak mampu bekerja berikutan menghidap asma, darah tinggi, kencing manis selain tisu di paha koyak.
Katanya, anak sulungnya, Muhammad Tarmizi Abd Aziz, 17, yang sebelum ini menyara keluarga dengan bekerja sebagai tukang kimpal kini terhad pergerakannya berikutan patah kaki kiri selepas terbabit kemalangan Oktober tahun lalu.
“Hinanya hidup miskin seperti ini. Saya benar-benar mengharapkan bantuan.
“Memang saya berasa bersalah biar anak minta sedekah, tetapi saya tiada pilihan,” katanya ketika ditemui rumahnya di Taman Sentosa, di sini.
Menurutnya, Muhammad Firdaus mengemis setiap hari dengan berjalan dari rumah ke bandar Pelabuhan Klang sejauh 10 kilometer pergi dan balik dengan memperoleh antara RM15 dan paling banyak RM60.
Katanya, dia kini tidak lagi mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan hanya menerima bantuan RM350 sebulan daripada Pusat Zakat yang membantu membayar sewa rumahnya.
“Saya berkahwin dua kali. Suami pertama meninggal dunia pada 1999 ketika saya mengandungkan Muhammad Firdaus sebelum berkahwin lain dan berpisah dengan suami kedua pada 2010,” katanya.
Menurutnya, dia turut membela tiga anak angkat dengan alasan tidak mahu mereka merempat.
“Walaupun saya miskin tapi tetapi saya ambil anak angkat sebab tak nak mereka terbiar,” katanya.
Muhammad Firdaus pula berkata, dia juga sudah lali dihina.
“Orang kata saya sihat tetapi kenapa tak cari kerja. Bukan saya tidak cari kerja tetapi tak dapat.
“Dalam keadaan terdesak, saya terpaksa mengemis demi menyara keluarga,” katanya.
Tinjauan Harian Metro mendapati, keadaan rumah Hashimah daif, malah tandas di rumah dijadikan sebagai tempat mencuci pinggan mangkuk kerana tiada singki.
Lebih memilukan, mereka tidur di atas lantai beralaskan pakaian yang dijadikan bantal manakala hanya ada satu tilam untuk Muhammad Tarmizi yang patah kaki.
HASHIMAH merenung nasib lima anaknya termasuk tiga anak angkat di rumahnya di Taman Sentosa, Klang. Gambar kecil, anaknya yang terpaksa meminta sedekah demi menyara keluarga. FOTO Muhammad Sulaiman
Artikel keren lainnya:
Belum ada tanggapan untuk "Ku relakan jua-kisah sedih seorang ibu tunggal"
Post a Comment